NEW ORLEANS – Sekurang-kurangnya 10 individu terbunuh manakala lebih 35 lagi cedera apabila seorang lelaki yang memandu pikap pada kelajuan tinggi merempuh sekumpulan orang yang meraikan kedatangan tahun baharu.
Polis berkata, dalam kejadian jam 3.15 pagi di tengah bandar di mana terletak French Quarter yang dipenuhi dengan orang ramai meraikan kedatangan tahun 2025.
“Lelaki tersebut cuma melanggar seberapa ramai yang boleh.
“Dia akan melakukan apa sahaja untuk melaksanakan pembunuhan beramai-ramai dan menyebabkan kerosakan,” kata Superitenden Polis Anne Kirkpatrick kepada media sambil menambah pemandu tersebut melepaskan tembakan ke arah polis menyebakan dua anggota mengalami kecederaan.
Keberadaan pemadu tersebut tidak diketahui.
Walaupun insiden itu tidak diklasifikasikan sebagai serangan pengganas, Kirkpatrick berkata, pikap terbabit dipandu ‘dengan sengaja dalam keadaan sangat laju’.
Tambah beliau, siasatan akan diambil alih Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Gabenor Lousiana, Jeff Landry menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘tindakan keganasan mengerikan’.
Rangkaian televisyen berita, CBS melaporkan saksi berkata pikap tersebut merempuh sekumpulan orang sebelum pemandunya melompat keluar daripada kenderaan dan mula melepaskan tembakan ke arah polis.
Sebuah pikap berwarna putih melanggar penghadang pada kelajuan tinggi, kata saksi Jim dan Nicole Mowrer kepada CBS.
“Selepas ia (pikal) melepasi kami, kami terdengar tembakan, melihat polis berlari ke arah dia (pemandu).
“Apabila tembakan berhenti, kami yang berada di ruang kecil menuju ke jalan dan melihat ramai, beberapa orang terkena tembakan, (kami) mahu membantu seberapa boleh” kata Nicole Mowrer.
New Orleans merupakan salah sebuah destinasi yang dikunjungi ramai orang dan insiden itu berlaku tidak lama sebelum perlawanan bola sepak Amerika universiti dikenali Sugar Bowl antara University of Georgia dan Notre Dame. – AFP