Tiga pendaki selamat ditemukan selepas sesat dua jam semasa mendaki di Kangkar Pulai, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Hasrat tiga pendaki mahu menikmati pemandangan menarik tasik biru sempena tahun baharu bertukar pengalaman mencemaskan apabila sesat lebih dua jam di kawasan pendakian di Kangkar Pulai, di sini, petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penguasa Bomba Kanan II Inggai Anak Bakau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pukul 1.51 petang.

“Seramai 17 anggota dibantu empat jentera termasuk fire rescue tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Rapid Rescue Vehicle (RRV) dan pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Selain anggota BBP Skudai, operasi turut membabitkan lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat malim gunung berpengalaman.

“Mangsa yang hilang itu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita masing-masing berusia 22 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka hilang itu dikatakan sedang menjalankan aktiviti mendaki di kawasan terbabit.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa dua jam untuk menjejaki ketiga-tiga mereka sebelum ditemukan dalam keadaan selamat.

“Pihak bomba melakukan pencarian berdasarkan lokasi yang diberikan dan mereka ditemui pukul 4.18 petang dalam keadaan selamat tanpa kecederaan serius.

“Mangsa berjaya ditemukan pada jarak tujuh kilometer dari jalan utama oleh polis dengan bantuan orang awam,” ujar beliau.

Tambahnya, mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.44 petang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here