BUTTERWORTH – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini membenarkan empat remaja lelaki bawah umur direman selama empat hari bagi membantu siasatan menceroboh dan melakukan khianat ke atas sebuah stor simpanan kereta baharu buatan China di sini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani terhadap seorang remaja tempatan serta tiga remaja etnik Rohingya bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut 448/427 Kanun Keseksaan.
MalaysiaGazette difahamkan, mereka yang berusia 14 hingga 16 tahun itu ditahan sekitar Kampung Benggali, di sini, semalam selepas pihak polis menerima laporan daripada penyelia syarikat pengedar kenderaan tersebut.
Kesemua remaja itu dikatakan memasuki kawasan stor simpanan kenderaan tersebut dengan alasan mahu mendengar radio sebelum cuba memandu model kenderaan utiliti sukan (SUV) susulan terdapat kunci bersama.
Bagaimanapun, mereka gagal mengawal SUV tersebut sehingga menyebabkan enam buah kenderaan mengalami kerosakan termasuk kemek disebabkan perbuatan mereka. – MalaysiaGazette