KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali mempersoalkan sama ada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhasrat membawa rakyat Malaysia ke era ‘Amanat Haji Hadi’ sekali lagi yang menyaksikan rakyat bermusuhan akibat momokan politik ekstrem dan memecah-belahkan.
Ia susulan kenyataan Abdul Hadi seperti yang disiarkan menerusi portal berita semalam yang mengaitkan DAP dengan fahaman liberalisme dan sekularisme yang turut mencabar Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
Dalam masa sama, Sheikh Umar turut mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Marang berkenaan sedang cuba menyemai benih-benih perpecahan dan permusuhan dalam kehidupan rakyat Malaysia yang majmuk dengan pelbagai latar kaum, agama dan budaya.
Menjawab kepada dakwaan Abdul Hadi itu, beliau menegaskan, DAP merupakan sebuah parti politik yang sah dan bergerak atas lunas-lunas perlembagaan Malaysia.
Sehubungan itu, kata beliau, sekiranya Abdul Hadi kekal dengan dakwaan melampau terhadap DAP, pemimpin Pas berkenaan disaran mencabar mengikut saluran undang-undang supaya DAP diharamkan.
“Tetapi malangnya, Haji Hadi tidak berani lakukan demikian selain terus-menerus bermain sentimen semata-mata.
“Bagi saya, niat Haji Hadi tidak lain sekadar untuk kepentingan politik sendiri,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.
Sementara itu, Sheikh Umar mengingatkan yang mana Pas juga pernah bekerjasama dengan DAP ketika era Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu, katanya, Abdul Hadi tidak sewajarnya bersikap selektif dalam dalam hujah-hujah agamanya mengikut selera dan kepentingan sendiri.
Jelas beliau, DAP juga sama seperti parti politik lain termasuk Pas yang bergerak di bawah kerangka perlembagaan dan undang-undang negara yang.
“Dan sedarkah Haji Hadi sewaktu Pas dan Perikatan Nasional menjadi kerajaan juga, DAP tetap ada sebagai parti politik pembangkang yang sah?
“Mengapa ketika itu tidak ditimbulkan dakwaan seperti yang beliau keluarkan sekarang ini? Adakah Haji Hadi senyap ketika itu kerana Pas di tampuk kuasa?
“Jadi bila Pas dapat kuasa, semuanya ok. Ketika Pas tiada kuasa, semua parti yang lain adalah sekular, liberal, warisan penjajah dan komunis?” soalnya. – MalaysiaGazette