JOHOR BAHRU – Banjir di dua kampung di daerah ini ketika ini tidak menjejaskan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menduduki peperiksaan itu bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, semua mereka akan menduduki peperiksaan SPM seperti yang dijadualkan.
“Perjalanan peperiksaan calon SPM yang terlibat dengan banjir tidak terjejas dan diteruskan seperti biasa.
“Setakat ini di Kota Tinggi, saya pun dah melawat dua hari lepas, memang kita dah menguruskan dan sekolah untuk mereka menjawab SPM itu tidak terlibat dengan banjir.
“Mereka boleh meneruskan dengan peperiksaan SPM dan kita juga memberikan bilik khas untuk pelajar ini mengulang kaji di Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui dalam Program Lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, di Johor Jaya di sini hari ini.
Terdahulu beliau melawat dan beramah mesra dengan calon SPM di SK terbabit dengan diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung.
Sehinnga pukul 10 pagi tadi, seramai 69 mangsa banjir dari Kampung Perpat dan Kampung Gembut di daearh ini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS).
Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 49,980 calon SPM menduduki peperiksaan di 376 buah pusat di negeri ini.
Menurutnya, seramai 5,335 petugas peperiksaan termasuk ketua pengawas, sukarelawan dan guru ditugaskan bagi mengendalikan peperiksaan SPM di Johor kali ini.- MalaysiaGazette