Empat pelajar Permata@Pintar Negara bersama guru bimbangan berjaya memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi pendidikan, International Future Scientist Conference (iFSC) 2024.

KUALA LUMPUR – Inovasi Bloomind iaitu permainan papan inovatif yang dihasilkan oleh sekumpulan pelajar Pusat PERMATA@Pintar Negara telah memenangi pingat emas dalam pertandingan inovasi pendidikan, International Future Scientist Conference (iFSC) 2024 yang diadakan di Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Papan permainan permainan inovatif Bloomind ini hasil ciptaan bersama Muhammad Hasan Zakariah, Che Saffiyah Anisah Mohd Suffian, Nur Qistina Balqis Mohd Feris Halmy dan Nur Alya Nadhirah Abdul Sani bersama guru pembimbing, Azlina Md Azhari.

Pakar Psikologi Sukan, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Nurwina Akmal Anuar berkata, inovasi Bloomind adalah salah satu sokongan kepada Malaysia untuk meningkatkan kesihatan mental dan kecerdasan emosi dalam kalangan generasi muda Malaysia.

Beliau berkata, dengan permainan papan inovatif Bloomind, masalah literasi emosi dalam kalangan pelajar Malaysia kini boleh diatasi dengan lebih berkesan.

“Dengan menggabungkan pembelajaran berasaskan permainan dengan fokus pada kecerdasan emosi, Bloomind menawarkan pendekatan yang inovatif dan berkesan untuk menangani cabaran emosi yang dihadapi oleh pelajar hari ini, sekali gus menyediakan mereka dengan kemahiran penting untuk masa depan,” katanya.

Menurutnya, kemenangan itu bukan sahaja mengiktiraf kreativiti dan usaha para pelajar yang membangunkan Bloomind, tetapi juga menunjukkan potensi besar permainan tersebut dalam
arena pendidikan global.

“Dengan kejayaan ini, Bloomind kini sedang dalam proses untuk dikomersialkan dan dijangka akan digunakan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia dalam masa terdekat. Kami berharap Bloomind akan menjadi alat penting dalam meningkatkan kesihatan mental dan kecerdasan emosi dalam kalangan generasi muda Malaysia,” katanya.

Dr Nurwina berharap agar Bloomind akan menjadi alat pendidikan penting dalam meningkatkan kesihatan mental dan kecerdasan emosi di kalangan generasi muda Malaysia.

“Adalah penting untuk kita melabur dalam alat pembelajaran seperti Bloomind ini kerana ia boleh membantu pelajar kita menghadapi cabaran emosi dengan lebih baik, seterusnya membentuk generasi yang lebih berdaya tahan dan berkemahiran sosial tinggi,” katanya.

Tambah beliau, Bloomind kini sedang dalam proses alih bahasa untuk dikomersialkan di dalam dan luar begara, dan dijangka akan digunakan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia
dalam masa terdekat.

Katanya, sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar di Malaysia menghadapi kesukaran dalam memahami dan mengurus emosi yang boleh membawa kepada pelbagai masalah psikologi dan sosial.

Permainan ini menggabungkan elemen-elemen Taksonomi Bloom dengan konsep kecerdasan emosi, menawarkan pendekatan yang menarik dan berkesan untuk meningkatkan kemahiran EQ pelajar.

Dalam konteks pendidikan Malaysia, Bloomind menawarkan beberapa manfaat penting seperti membantu meningkatkan literasi emosi, mengembangkan kemahiran sosial, merangsang pemikiran kritikal, meningkatkan motivasi dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat bagi pelajar untuk meneroka dan memahami emosi tanpa rasa takut atau malu.

“Dengan meningkatkan kecerdasan emosi pelajar, Bloomind berpotensi untuk memberi impak positif terhadap kesihatan mental mereka. Kajian menunjukkan kanak-kanak dan remaja
yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi lebih mampu menangani tekanan, kebimbangan, dan kemurungan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here