Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR – Keputusan DNA yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia hari ini mengesahkan mayat reput ditemui di Banting Sabtu lalu milik remaja Yap Xin Yuan yang hilang sejak 19 Disember lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keputusan ini telah dimaklumkan kepada keluarga mangsa tengah hari tadi.

Sehubungan itu, katanya, mayat berkenaan akan diserahkan kepada keluarga pada petang ini.

Yap Xin Yuan

“Polis akan meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan membawa penjenayah yang terlibat ke muka pengadilan dalam masa terdekat,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ditalian 03-89114222 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, polis Selangor telah menahan tiga lelaki termasuk teman lelaki remaja perempuan ini selepas penemuan mayat reput di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang.

Remaja perempuan ini dilapor hilang apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan kehilangan Xin Yuan diterima di Balai Polis Batu 9, Cheras pada 2.15 pagi.

Kali terakhir dia dilihat di gelanggang bola keranjang di Batu 11, dengan berpakaian baju tarian singa berwarna merah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast