NARATHIWAT – Seorang penyanyi dikir barat dari Kelantan dan lima individu lain yang ditahan polis Thailand kerana disyaki memiliki dadah pada November tahun lepas, perlu melalui tujuh proses siasatan sebelum didakwa di mahkamah.

Pengarah Penjara Wilayah Narathiwat, Supt Surin Chantep berkata, proses itu adalah sebahagian daripada prosedur undang-undang di negara berkenaan bagi memastikan semua maklumat diperoleh dengan teliti sebelum tindakan pendakwaan diambil.

Beliau berkata, setakat ini kesemua mereka sudah melalui lima sesi soal siasat dengan sesi kelima berlangsung hari ini menerusi sidang video.

“Sidang video dijalankan secara langsung di Penjara Wilayah Narathiwat bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari waktu tempatan. Sesi seterusnya akan berlangsung sebanyak dua kali,” katanya kepada pemberita menggunakan penterjemah tempatan di Penjara Wilayah Narathiwat, di sini hari ini.

Surin berkata, pihak berkuasa Thailand akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi melengkapkan siasatan kes itu termasuk menganalisis bukti-bukti yang dirampas dan mendapatkan keterangan saksi-saksi berkaitan.

Mengulas mengenai lawatan keluarga banduan termasuk dari Malaysia di penjara itu, Surin berkata, bermula 1 Januari tahun ini pihak penjara membenarkan tempoh lawatan lima hari dalam seminggu iaitu pada Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad, berbanding sekali seminggu sebelum ini iaitu pada setiap Khamis.

Mengenai makanan yang dihidangkan kepada penyanyi itu dan banduan Malaysia yang lain, beliau berkata makanan yang dihidangkan sama seperti makanan di Malaysia.

“Ini termasuklah nasi goreng telur mata, nasi goreng ikan sardin, nasi putih ayam cincang telur mata serta beberapa menu makanan lagi. Keluarga banduan Malaysia tidak perlu bimbang kerana makanan yang disediakan pihak penjara ini adalah halal,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat wanita popular itu ditahan polis Thailand kerana didakwa memiliki 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di pekan Golok, pada 1 November lepas.

Penahanan wanita itu yang dikenali ramai sebagai seorang penyanyi dikir barat menarik perhatian masyarakat di Malaysia dan Thailand.

Kes tersebut juga mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai penglibatan individu terbabit dalam kegiatan jenayah terancang di sempadan kedua-dua negara. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here