JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan Geng Atan yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan curi kereta di negeri ini selepas memberkas empat lelaki dalam tiga serbuan berasingan pada 11 Disember lalu.
Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor menangkap mereka menerusi serbuan Op Pintu/Lejang di lokasi berasingan di daerah ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, ahli kumpulan itu yang ditahan merupakan warga tempatan berumur 41 sehingga 52 tahun dan pihaknya turut melakukan rampasan.
“Polis merampas telefon bimbit, jam tangan dan barangan elektrik dipercayai milik mangsa serta pelbagai peralatan pecah rumah seperti allen key, sarung tangan, topeng muka dan tiga kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kes ini.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati tangkapan pertama mempunyai 15 rekod jenayah dan dadah manakala tangkapan kedua 64 rekod jenayah dan dadah.
“Tangkapan ketiga pula mempunyai 25 rekod jenayah dan dadah dan tangkapan keempat mempunyai 29 rekod jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas keempat-empat tangkapan didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Kumar memberitahu, kumpulan itu disyaki aktif sejak 2011 dengan melakukan kes pecah rumah serta curi kenderaan di sekitar kawasan Johor Bahru.
Menurutnya, modus operandi kumpulan berkenaan adalah memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni dengan mengumpil pintu sebelum melarikan barangan berharga termasuk kenderaan milik mangsa.
Beliau percaya dengan penangkapan empat suspek berkenaan, pihaknya berjaya menyelesaikan 19 kes pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan berlaku di negeri ini pada tahun lalu.
Antaranya kata beliau, di Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Seri Alam, Iskandar Puteri, Pontian, Muar, Tangkak dan Kota Tinggi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457, Seksyen 414 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 39c dan Seksyen 15(1)(c)Akta Dadah Berbahaya 1957.
Beliau menambah, semua mereka akan dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, esok dan seterusnya didakwa di mahkamah Pontian dan Muar.- MalaysiaGazette