Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama AMK, Ashraf Ahmad Hadi.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan penganjuran Himpunan Bangkit Ummah yang dirancang esok, berpotensi memanipulasi isu agama demi kepentingan politik sempit.

Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama AMK, Ashraf Ahmad Hadi berkata, isu yang cuba diperjuangkan menerusi himpunan itu juga tidak jelas meskipun hak berhimpun dijamin dalam sebuah negara demokrasi.

Jelasnya, naratif yang ditiupkan oleh penganjuran himpunan seperti itu bukan sahaja gagal menyelesaikan isu sebenar, sebaliknya akan mencemarkan imej Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua.

“Hakikat sebenar pada waktu ini, perjuangan Islam seharusnya lebih tertumpu kepada memperkukuhkan umat dengan meningkatkan taraf hidup, membaiki sistem pendidikan, memacu pembangunan ekonomi dan menyatukan masyarakat.

“Islam juga menyeru untuk kita menggunakan akal dan ilmu sebagai asas tindakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ashraf turut menggesa semua pihak menolak sebarang usaha memanipulasi agama demi kepentingan politik yang sempit.

Sebaliknya, ujar beliau, semua pihak perlu memberi fokus kepada isu yang membawa kebaikan bersama dan memperkukuh keharmonian masyarakat serta keadilan kepada semua tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri berkata, satu perhimpunan aman bagi membantah tindakan pihak-pihak yang mengganggu gugat keharmonian umat Islam di Malaysia iaitu ‘Himpunan Bangkit Ummah’ akan diadakan di Masjid Jamek, Kampung Bharu, esok.

Mohd Hafez berkata, antara isu yang akan dibawa dalam perhimpunan berkenaan iaitu bantahan terhadap perkara yang dikaitkan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Kor Ming.

Himpunan oleh Solidariti Gerakan Bangkit Rakyat terdiri daripada Dewan Pemuda Pas dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut akan disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here