JOHOR BAHRU – Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu berhenti menyerang secara membabi buta terhadap Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kerajaan Perpaduan kekal utuh.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, setiap parti komponen perlu saling menghormati bagi menjaga keharmonian.
Jelasnya, serangan sesama sendiri hanya akan melemahkan perpaduan dan merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Perpaduan.
Sebagai contoh ujarnya, kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang mempertikaikan proses pengampunan diraja terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Faezuddin menegaskan, kenyataan itu bukan sahaja mengundang kekeliruan dalam kalangan rakyat, malah menunjukkan kedangkalannya terhadap prinsip Perlembagaan Persekutuan dan fakta terkait proses pengampunan diraja.
“Semua sedia maklum, jelas lagi nyata bahawa pengampunan diraja yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah hasil daripada proses yang sah dan mengikut lunas undang-undang.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, kerajaan ketika itu membuat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan beliau.
“Permohonan ini dibentangkan kepada Lembaga Pengampunan terdiri daripada ahli-ahli yang berkenaan. Ini sememangnya hak prerogatif baginda yang dijamin di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tindakan itu sekali gus membersihkan nama Anwar daripada sebarang sabitan dan membolehkan beliau kembali aktif dalam arena politik negara.
Begitu juga katanya, pada 2023 apabila Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan seorang peguam untuk mengembalikan saman mencabar kesahan pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar pada 2018.
Justeru katanya, AMK menasihatkan Akmal Saleh agar menyemak fakta dan memahami proses tersebut sebelum membuat kenyataan yang berbaur prejudis.
Sebagai pemimpin katanya, penting untuk beliau memastikan kenyataannya tidak mengelirukan rakyat atau mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi diraja.
“Sebagai Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh juga perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutamanya apabila UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan Perpaduan.
“Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sering menekankan kepentingan untuk saling menghormati dalam kalangan parti komponen kerajaan.
“Bagaimana kita boleh menuntut pihak lain menghormati UMNO jika pemimpin UMNO sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada rakan-rakan dalam kerajaan Perpaduan,” soalnya.
Beliau juga mempersoalkan sama ada tindakan menyerang rakan komponen tersebut adil dan wajar terutamanya ketika negara memerlukan kestabilan.
AMK Johor katanya, menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik untuk menghormati institusi raja dan Perlembagaan negara.
Pengampunan diraja jelasnya, bukan isu untuk dipolemikkan secara politik sebaliknya adalah satu cabang keadilan yang ada dalam sistem perundangan negara.
“Sebarang kenyataan berkaitan isu ini haruslah berdasarkan fakta yang tepat, konsisten, dan bertanggungjawab,” ujar beliau lagi.
Sabtu lalu, Akmal Saleh dalam Facebook miliknya, mengulas berkenaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang perlu kemuka permohonan baharu sekiranya ingin menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Dakwanya, perkara itu tidak berlaku kepada Anwar yang mendapat pengampunan diraja sebelum ini.
“Sekadar pertanyaan kepada Peguam Negara, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong ketika itu, ada ke dibawa ke Lembaga Pengampunan,” kata Akmal Saleh.- MalaysiaGazette
sapa yg sorok titah adendum, maka mereka itu lah penderhaka sebenar…