Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu dan tidak teragak-agak untuk menggantung lesen jika didapati mengabaikan aspek keselamatan hingga menyebabkan kemalangan maut.

Menterinya, Anthony Loke berkata, tindakan tegas itu boleh diambil ke atas pemandu jika didapati bersalah dan menyebabkan kemalangan jalan raya berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Saya belum mendapat laporan itu (pegawai polis di Bukit Aman langgar penunggang motosikal sampai maut), setakat ini belum ada.

“Kalau ada kesalahan, kita ikut peruntukan undang-undang, tak kira dia siapa, kalau ada terlibat dengan kes kemalangan, tak ikut apa jawatan dia, memang ikut peraturan dan undang-undang.

“Memang dari segi peraturan dan undang-undang jalan raya, kalau terlibat dengan kemalangan jalan raya dan didapati bersalah, sudah tentu lesen akan digantung,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan pejabat baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Putrajaya di Galeria PJH, di sini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang petugas perubatan Klinik Kesihatan Kapar maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jeram, di sini, pada Selasa.

Mangsa, Zainal Abidin Nasruddin, 57 tahun, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia selepas kenderaan SUV Perodua Ativa merempuhnya dalam kejadian jam 6.11 petang.

Menurut adik bongsu mangsa, Mohd Faizal Nasruddin kepada MalaysiaGazette, semasa kejadian, dia sempat bertemu dengan pemandu kenderaan Perodua Ativa dipercayai seorang pegawai polis berjawatan tinggi yang bertugas di Bukit Aman.

Kejadian yang menyayat hati itu berjaya dirakam beberapa kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) orang awam yang tular di media sosial menunjukkan Zainal Abidin melambung ke udara akibat rempuhan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast