KUANTAN – Seramai 49 orang warga asing dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan India ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang dalam operasi Tahun Baharu, semalam.
JIM Pahang dalam kenyataan memberitahu, serbuan dilakukan di premis yang disyaki mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja secara haram di sekitar bandar Kuantan.
Katanya, seramai 109 individu telah diperiksa sepanjang operasi hampir 24 jam bermula 12.30 pagi hingga 11 malam kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
”Kesemua tahanan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Kemayan untuk siasatan lanjut manakala pemilik pemilik premis terlibat akan dikesan bagi membantu siasatan.
”JIM Negeri Pahang menyeru orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan PATI di lokaliti masing-masing bagi membantu pihak berkuasa membanteras isu kebanjiran PATI di negeri ini,” katanya.
Tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap PATI dan mana-mana pihak yang menggaji serta memberi perlindungan kepada golongan itu.
Dalam perkembangan sama 10 individu ditangkap dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan 49 lagi dalam Ops Sapu, Kutip, Selera. – MalaysiaGazette