KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menggempur sebuah tapak pembinaan dalam Ops Sapu sempena malam tahun baharu dari jam 9.00 malam, 31 Disember 2024 sehingga 5.00 pagi, 1 Januari 2025 di Besut, Terengganu.
Pengarah Imigresen Negeri Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor, berkata seramai 25 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berusia antara 20 hingga 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam pemeriksaan membabitkan 127 warga asing.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki serta seorang wanita warga Indonesia, lima lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga India dan empat lelaki warga Palestin.
“Ketika serbuan di tapak pembinaan di Jalan Gong Penaga, Mukim Bukit Puteri, terdapat percubaan melarikan diri oleh beberapa warga asing, namun, tindakan pantas anggota operasi berjaya mengepung kawasan tersebut dan menangkap mereka yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Yusri, kesemua PATI yang ditahan disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Jelasnya, mereka kini ditahan di Depot Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, operasi ini sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan selepas tamatnya Program Repatriasi Sukarela Migran yang memberi peluang kepada warga asing untuk pulang ke negara asal tanpa tindakan undang-undang dan ia telah berakhir pada 31 Disember lalu. – MalaysiaGazette