PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengenal pasti isu integriti melibatkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika isu integriti dikesan melibatkan perkhidmatan yang menyalahi peraturan dan undang-undang.
“Kita nak kenal pasti juga bukan sahaja kes-kes terpencil ini, tapi apa yang lebih penting ialah sama ada wujud sindiket-sindiket yang membawa perkhidmatan yang tidak sah ini.
“Memang kita tahu bahawa dalam pasaran, ramai yang cakap ada ‘runner’, ada kartel dan sebagainya supaya mereka yang tidak lulus pun boleh diluluskan.
“Jadi kes ini memang akan kita teruskan siasatan dan kita sedang bekerjasama dengan pihak SPRM untuk mengenal pasti,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Isnin lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Op Mengejut Puspakom di seluruh negara bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa mematuhi standard yang ditetapkan.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pemeriksaan di Puspakom Wangsa Maju mendapati sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan di Puspakom terbabit.
Susulan itu, dua kakitangan Puspakom yang bertanggungjawab bagi pemeriksaan itu diarah hadir ke Ibu Pejabat JPJ pada Selasa untuk soal siasat selain kertas siasatan akan dibuka.
Dalam pada itu, Loke berkata, pegawai Puspakom terlibat telah hadir ke Ibu Pejabat JPJ untuk ditemu siasat dan pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan kes terbabit.
“Setakat ini ada tiga pegawai yang dipanggil, dibuat secara berfasa, akan panggil lagi (pegawai Puspakom) jika ada kes. Jadi kita akan terus siasat dan tengok kenderaan lain juga.
“Kita tidak akan memberikan notis kepada Puspakom, jika tidak sudah tentu tak ada kes macam itu,” katanya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan wujudnya sindiket sewa tayar lori di dalam Puspakom, beliau mengakui masih terdapat kelompongan khususnya undang-undang sedia ada sukar mendakwa pihak terbabit.
“Ini macam kes cermin gelap dulu, orang yang pakai cermin gelap, dia memang tak lulus masuk Puspakom, jadi dia pergi kedai aksesori, tukar cermin yang lulus, masuk dulu Puspakom, lulus keluar balik, dia tukar balik cermin gelap semula.
“Tetapi isu cermin gelap kita sudah tukar peraturan, kita kata tak perlu lagi dibuat macam itu, kita benarkan, selagi ikut peraturan kita (JPJ), kita benarkan, cuma cermin gelap di bahagian belakang, kita benarkan.
“Ia untuk menyelesaikan isu-isu seperti kenderaan SUV yang diimport dari Jepun memang cermin belakangnya gelap,” katanya.
Sehubungan itu katanya, MOT dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang berbincang untuk menyelesaikan isu tayar lori sewa.
“Kita akan ada pendekatan baharu untuk mengenalpasti sama ada tayar itu sepatutnya berada dalam kenderaan itu, akan ada cara baharu yang kita akan umumkan apabila kita buat pindaan peraturan,” katanya. – MalaysiaGazette