GEORGE TOWN – Polis berjaya membongkarkan kegiatan seorang lelaki yang menjadikan tandas di kawasan hutan di Cangkat Bukit Gambir, Gelugor di sini, sebagai tempat memproses dadah jenis heroin dalam satu serbuan semalam.
Serbuan jam 5 petang oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang membawa kepada rampasan heroin serta motosikal bernilai RM54,870.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil serbuan itu menemui dadah seberat 5,352 gram dalam satu kotak kertas berwarna coklat bertulis ‘Luzhou Laojiao Touqu’.
“Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan pelbagai peralatan memproses dadah di dalam tandas tersebut.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah sejak awal bulan lalu.
“Jumlah keseluruhan dadah itu dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 26,755 penagih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek yang memiliki 10 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah itu mendapati dia positif dadah amphetamin dan methamphetamin.
“Suspek kini direman selama seminggu sehingga 8 Januari depan bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette