KUALA LUMPUR – Etiqa Life Insurance Berhad (ELIB) mengumumkan pelantikan Leong Su Yern sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat tersebut, berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Su Yern telah menyertai Etiqa pada tahun 2013 sebagai Ketua Penetapan Harga untuk produk Hayat dan Keluarga, dan beliau bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan regulatori dan membangunkan strategi penentuan harga bagi Etiqa Life Insurance Berhad (ELIB) dan Etiqa Family Takaful Berhad (EFTB).
Pada tahun 2022, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Produk di Maybank Ageas Holding Berhad (MAHB) sebelum memikul tanggungjawab untuk menguruskan saluran jualan sebagai Pengurus Besar ELIB pada tahun 2023.
Kepimpinan beliau telah mendorong kejayaan besar dalam pelbagai projek, termasuk peningkatan lebih 40% dalam tenaga kerja agensi pada tahun 2024, serta pembentukan pasukan agensi bionik yang produktif, beretika dan berorientasikan kejayaan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurans dan Takaful, Kamaludin Ahmad berkata, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ELIB, Su Yern akan memacu pertumbuhan strategik, kewangan, dan operasi untuk memaksimumkan nilai pemegang saham sambil mengutamakan kepentingan pelanggan.
Selain itu, beliau akan menyelia strategi pertumbuhan yang mampan, memastikan pematuhan peraturan, serta mengurus risiko.
“Kami juga menantikan usaha beliau dalam mendorong inovasi, transformasi digital, dan pembangunan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan, sambil mengintegrasikan kelestarian dalam operasi dan strategi pelaburan untuk memastikan pertumbuhan jangka masa panjang,” katanya. – MalaysiaGazette