KUALA LUMPUR – Nama penyanyi Mark Adam menjadi sebutan di media sossial selepas bisnes Sate Bhalut miliknya didakwa terlalu mahal.
Ia berikutan, set tiga cucuk sate termasuk air dikenakan harga RM21.90, dianggap keterlaluan oleh pelanggan.
Bagi menjawab isu itu, Mark atau Fikri Mark Adam Abdullah berkata, harga dikenakan adalah munasabah selepas mengambil kira segala kos penjualan termasuk bahan mentah dan sewa tapak perniagaan.
“Bekalan bahan mentah juga adalah berkualiti tinggi yang diambil daripada sebuah syarikat pembekal ternama menggunakan daging premium yang dibekalkan ke hotel lima bintang dan restoran mewah.
“Sate saya bukan yang biasa, sebelum dibalut dengan popiah saya letak daging seberat 30 gram. 500 gram RM30 dan secucuk RM7.50. Ini harga sebelum kilang ambil untung.
“Untuk air pula kita guna cawan bersaiz besar dan kuat. Air saya letak dengan campuran buah limau. Harga RM3 jadi RM10.50.
“Saya nak tanya, adakah ini cukup nak bayar tapak katakanlah untung RM2,900. Saya berniaga, baru sahaja masih belajar,” katanya menerusi hantaran video di Instagram di sini.
Mark berkata, harga itu termasuk dengan pengiraan kos logistik, sewa tapak dan gaji 10 pekerja yang perlu dibayar untuk berniaga.
Namun dia memberitahu tetap menitikberatkan kualiti produk dijual berbanding keuntungan semata-mata sambil berpendatan kritikan diterima itu sebagai ujian berniaga,
“Dah ramai beli, yang tak beli pula yang banyak komen. Apa hal? Bukan mudah tetapi saya dan isteri suka.
“Sebab itu kami utamakan kualiti tanpa kira untung. Minta maaf kalau ada yang tersinggung,” jelasnya. – MalaysiaGazette