KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini membenarkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencabar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan notis agar beliau membayar taksiran cukai tambahan melebihi RM5 juta bagi tiga tahun berturut-turut.
Hakim Datuk Amarjeet Singh turut membenarkan permohonan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu untuk menggantung sementara pelaksanaan notis berkenaan sehingga pendengaran penangguhan pada 16 April ini.
Ini bermakna, Mukhriz tidak perlu membayar cukai tambahan sehingga 16 April selepas mendapat penangguhan sementara manakala pengurusan kes pula ditetapkan pada 7 Januari ini.
Hakim Amarjeet membenarkan bekas Menteri Besar Kedah itu memulakan semakan kehakiman selepas berpuas hati terdapat isu yang wajar dibicarakan dalam prosiding tersebut.
Terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Mukhriz dan Peguam Kanan Persekutuan, Wan Shahida Wan Omar mewakili responden-responden.
Dalam permohonan yang difailkan pada 20 Disember itu, Mukhriz, 61, menamakan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya, Mukhriz menyatakan, notis- notis taksiran tambahan itu bagi tahun 2017, 2018 dan 2019 berjumlah RM5,020,707.18.
Ujarnya, notis 2017 menghendakinya membayar cukai tambahan RM2,558,875.90 manakala bagi 2018 dan 2019, beliau perlu menjelaskan sebanyak RM2,445,004.91 dan RM16,826.37.
Dalam afidavit tersebut, Mukhriz mendakwa, responden pertama secara salah mengambil kira pelupusan saham pemohon di OPCOM Holdings Berhad dan penerimaan dividen dari M. Ocean Capital Sdn Bhd sebagai perbelanjaan yang boleh dicukai, walhal ia merupakan pendapatan yang tidak boleh dicukai.
Menurut Mukhriz, responden sendiri pernah menyatakan penerimaan dividen daripada saham dan hasil jualan saham adalah dikira sebagai pendapatan tidak boleh dicukai.
“Tindakan responden pertama yang telah mengambil kira pendapatan tidak boleh dicukai sebagai pendapatan boleh dicukai merupakan suatu layanan yang tidak adil dan tidak sama rata terhadap saya,” ujar beliau.
Mukhriz selanjutnya menyatakan, Menteri Kewangan (responden kedua) telah menyalahguna kuasa untuk tujuan kolateral iaitu dengan mengawal responden pertama untuk tujuannya sendiri.
Menurut beliau, notis taksiran tambahan bagi 2017 dan 2018 dikeluarkan pada 27 September 2024 iaitu lebih lima tahun dari garis masa pemfailan borang-borang cukai pendapatan bagi kedua-dua tahun.
Ujar beliau, Seksyen 91(1) Akta Cukai Pendapatan menyatakan, apa-apa notis taksiran tambahan di bawah seksyen tersebut hanya boleh dikeluarkan selepas lima tahun jika wujudnya situasi di mana seorang pembayar cukai telah melakukan frod, kelalaian sengaja atau kecuaian.
“Namun melalui surat subjek utama, responden pertama tidak pernah menyatakan sama ada pemohon telah bertindak secara frod, kelalaian sengaja atau kecuaian,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mukhriz berkata, keputusan responden pertama menyalahi undang-undang, tidak sah dan melangkaui bidang kuasanya.
Oleh yang demikian, beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan LHDN mengeluarkan notis taksiran tambahan bagi 2017, 2018 dan 2019 atas alasan ia terbatal dan ultra vires.
Mukhriz turut memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan responden pertama mengeluarkan sijil di bawah Seksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Beliau turut memohon perisytiharan bahawan keputusan LHDN mengenakan penalti di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.
Mukhriz turut memohon ganti rugi am dan/atau teladan terhadap responden pertama dan responden kedua dan secara vikarius oleh responden ketiga. – MalaysiaGazette