CSO Platform for Reform.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) CSO Platform for Reform menyelar gesaan pemimpin UMNO dan sekutu mereka dalam Pas yang mendesak pembebasan atau penahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, tuntutan sedemikian mencabar prinsip keadilan, merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan dan mengkhianati komitmen Malaysia terhadap kedaulatan undang-undang.

Ujarnya, kedaulatan undang-undang adalah asas kepada mana-mana masyarakat demokratik yang memastikan tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang, tanpa mengira status atau kuasa.

“Najib Razak yang disabitkan oleh mahkamah tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram mesti menjalani hukuman penjaranya sepenuhnya.

“Sabitannya bukanlah isu penganiayaan politik tetapi hasil proses perundangan yang disokong oleh bukti kukuh,” katanya dalam satu kenyataan seperti disiarkan menerusi laman sosial Facebook Aliran semalam.

Tambah kenyataan itu, memberikan pengampunan atau mengurangkan hukuman ke atas Najib akan mencipta precedent yang berbahaya selain mewujudkan persepsi bahawa keadilan di Malaysia boleh dirunding bagi mereka yang berkuasa.

Jelasnya, dengan mengabaikan keputusan kehakiman, pemimpin-pemimpin itu berisiko mengukuhkan budaya kekebalan yang meremehkan penguatkuasaan undang-undang dan merosakkan kebebasan kehakiman.

“Percubaan untuk menyamakan kes Najib dengan pengampunan yang diberikan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim pada tahun 2018 adalah tidak berasas dan mengelirukan.

“Mahkamah telah mengesahkan kesahihan pengampunan Anwar, yang berpunca daripada penganiayaan politik, berbeza dengan sabitan Najib atas jenayah kewangan dan rasuah,” katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, UMNO dan Pas mesti menghentikan usaha memalukan untuk memanipulasi kedaulatan undang-undang demi kepentingan politik.

Ujarnya, rakyat Malaysia berhak mendapatkan pemimpin yang menjunjung keadilan dan integriti, bukan mereka yang mengutamakan kepentingan pesalah berbanding kesejahteraan negara.

“CSO Platform for Reform menyokong peringatan Jabatan Peguam Negara bahawa permohonan pengampunan mesti mengikut proses yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang penyelewengan daripada prosedur yang ditetapkan akan menjejaskan kesucian kuasa (Yang di-Pertuan) Agong dan sistem keadilan Malaysia,” katanya.

Menjelang tahun baharu, tambahnya, CSO Platform for Reform menyeru semua rakyat Malaysia enolak sebarang langkah yang merosakkan kedaulatan undang-undang dan menuntut kebertanggungjawaban daripada mereka yang berada dalam kedudukan kuasa. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast