MELAKA – Seramai 147 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dikenakan tindakan buang kerja kerana terlibat dengan salah laku sepanjang tahun lalu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad, berkata, jumlah itu meningkat lapan kes berbanding hanya 139 kes dua tahun lalu.
“Daripada 147 yang dibuang kerja sehingga 31 Disember tahun lalu, kesalahan paling banyak adalah terlibat dalam dadah seramai 64 orang.
“Manakala 56 adalah kesalahan kategori integriti, disabitkan kesalahan jenayah (24), dan tiga lagi kes adalah berkaitan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah kepada pemangkunya, Datuk Md Nazri Zawawi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Azri berkata, bagi kesalahan syariah, tiada tindakan buang kerja dikenakan namun dua pegawai telah diturunkan pangkat kerana menjalinkan hubungan intim dan poligami tanpa kebenaran.
“Sementara itu sepanjang 2024 setakat November lalu, sebanyak 1,957 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dan 1,373 Kertas Enkuiri Tatatertib (KET) telah dibuka.
“Dalam tempoh sama, seramai 1,212 orang telah dijatuhkan hukuman tatatertib meningkat 26 orang berbanding 1,238
pada 2023,” tambahnya.
Mengenai statistik kematian orang dalam tahanan polis beliau berkata, sebanyak 25 kes kematian direkodkan tahun lalu meningkat tiga kes berbanding 22 kes dua tahun lalu.
“Sehubungan itu, semua jabatan yang terlibat dengan aspek penyiasatan dan pengurusan tahanan diminta perlu terus peka dan mematuhi undang-undang, peraturan serta prosedur operasi standard (SOP).
“Ini supaya kes kematian orang dalam tahanan polis ini dapat dihindarkan walaupun majoriti kes kematian melibatkan penagih dadah yang mempunyai komplikasi penyakit,” tambahnya. – MalaysiaGazette