BUTTERWORTH – Seorang penternak lembu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup dua migran warga Myanmar masuk ke negara ini pada Disember lalu.
Tertuduh, Jailanie Jusoh @ Yusop, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang sudah berumahtangga itu sebagai pemandu kereta jenis Proton Persona telah terlibat mengangkut dua lelaki migran warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di tepi jalan Kampung Teluk, Sungai Dua di sini, jam 3.30 pagi pada 20 Disember lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan juga boleh dikenakan denda RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette