BATU PAHAT – Kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek Bahasa Inggeris dan Tasawwur Islam di Johor akan diteruskan pada Isnin ini.
Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Azman Adnan berkata, peperiksaan tersebut akan berjalan seperti biasa walaupun pada tarikh tersebut telah diumumkan sebagai cuti kelepasan am.
“Seramai 49,980 calon di negeri ini akan menduduki kertas peperiksaan subjek berkenaan.
“Kerajaan Johor telah mengumumkan Isnin depan sebagai cuti kelepasan am susulan pertukaran pelaksanaan cuti hujung minggu di negeri kepada Sabtu Ahad bermula tahun ini.
“Pada tarikh berkenaan juga merupakan tarikh peperiksaan bagi subjek Bahasa Inggeris dan juga Tasawuf Islam.
“KPM telah melaksanakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan peperiksaan SPM pada Isnin ini berjalan seperti biasa. Calon- calon perlu hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Batu Pahat, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau melakukan tinjauan pada hari pertama peperiksaan bertulis SPM di sekolah terbabit.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Hanafi Samad dan Pengetua SMK Tinggi Batu Pahat, Ramlan Pit.
Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di seluruh negara.
Ini membabitkan 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara, dengan seramai 126,636 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Peperiksaan SPM 2024 bermula pada 2 Disember dengan ujian amali Sains dan ujian mendengar.
Peperiksaan bertulis pula bermula pada hari ini hingga 6 Februari depan. – MalaysiaGazette