Gambar Hiasan

KUANTAN- Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan menegaskan tiada sebarang salah laku oleh pihaknya ketika menahan dua buruh lelaki di KM2 Jalan Kuantan-Pekan semalam, yang video kejadian itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata dalam Ops Cegah Jenayah kira-kira 9.40 malam itu, kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki dua lelaki berkenaan telah ditahan sebelum pihaknya dan Agensi Antidadah Kebangsaan meminta suspek melakukan ujian saringan air kencing.

Beliau berkata semasa suspek hendak dibawa untuk melakukan ujian saringan itu, kedua-dua mereka yang berusia 20 dan 31 tahun cuba meloloskan diri untuk masuk semula ke dalam kenderaan berkenaan dengan menolak beberapa polis sehingga berlaku pergelutan.

“Akibat kejadian itu dua anggota polis terjatuh dan mengalami kecederaan ringan, bagaimanapun kedua-dua suspek berjaya ditahan. Tangkapan dibuat menggunakan kekerasan minimum dan tiada sebarang salah laku oleh polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis metamfetamina dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sehuhungan itu, Mohd Zaidi menasihati orang ramai agar lebih bertanggungjawab dan tidak menularkan penugasan pihak polis dengan tujuan negatif selain memberi kerjasama kepada polis yang menjalankan tugas.

“Masyarakat juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi ke atas insiden tersebut yang boleh mencemarkan imej polis Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan,” kata beliau.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here