KUALA LUMPUR – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usaha sama Kumpulan MMC dan APM Terminals yang berpangkalan di Belanda, mencatatkan satu lagi pencapaian cemerlang apabila menjadi terminal kontena pertama di Malaysia yang berjaya melangkaui kendalian 12,253,309 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh satu tahun bagi tahun 2024.
Pencapaian luar biasa ini mengatasi rekod terdahulu PTP yang mencatatkan kendalian 11.2 juta TEU pada 2021, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan PTP sebagai hab pemindahan kontena yang terkemuka dan terbesar di Malaysia.
Kendalian kontena ke-12 juta PTP telah direkodkan pada pukul 7 malam pada 23 Disember 2024, sekali gus meletakkan penanda aras baru kepada kecemerlangan operasi PTP sejak ia mula beroperasi pada tahun 2000.
PTP juga berjaya mencatatkan beberapa rekod operasi sepanjang tahun 2024 apabila Pada 22 September 2024 berjaya merekodkan kendalian sebanyak 14,036 pergerakan dermaga dalam satu syif 12 jam.
Pada Julai tahun yang sama, PTP turut berjaya merekodkan kendalian tertinggi dalam satu bulan dengan mengendalikan sebanyak 1,115,181 teu.
“Senarai pencapaian ini merupakan sebahagian daripada prestasi mampan yang menyaksikan PTP mengendalikan lebih satu juta TEU sebulan selama tujuh bulan berturut sejak bulan Mei 2024,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh, melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian ini berkata, tahun 2024 merupakan tahun yang luar biasa bagi Pelabuhan ini terutama menyaksikan PTP terus bangkit dalam mendepani pelbagai cabaran dan menjadikannya sebagai peluang dalam mengorak pertumbuhan dan memacu inovasi.
“Prestasi yang membawa kepada kejayaan kami dalam mencatatkan rekod terbaharu ini merupakan refleksi terhadap peranan penting PTP dalam rantaian bekalan global. Pencapaian ini turut menjadi bukti dedikasi, komitmen dan kerja keras seluruh warga kerja PTP,” katanya. – MalaysiaGazette