SHAH ALAM – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berpuas hati dengan keterangan dua kakitangannya yang dikatakan terbabit meluluskan kenderaan tidak selamat.
Ketua Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, dua kakitangan itu tidak pernah menimbulkan masalah kerja sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau sekali lagi menegaskan, Puspakom tidak akan melindungi kakitangan yang terlibat sebarang tindakan disiplin dalaman, sekiranya terbukti ada salah laku.
Bagi memastikan integriti pemeriksaan Puspakom, syarikat tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap kakitangan terbabit seperti diperuntukkan di bawah terma dan syarat kontrak pekerjaan, termasuk penggantungan atau pembuangan kerja
“Kakitangan yang didapati terlibat dengan sebarang bentuk kesalahan termasuk unsur rasuah tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.
“Kalau tidak pernah melakukan kesilapan sebelumnya, kita akan beri amaran lisan, kesalahan seterusnya kita beri amaran bertulis, sekiranya kesalahan keterlaluan kita buang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menambah, setakat ini empat kakitangan Puspakom Cawangan Wangsa Maju telah memberi keterangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung Op Mengejut baru-baru ini.
“Dua orang telah memberi keterangan pada dua hari lalu. Manakala dua lagi kakitangan hadir di JPJ Putrajaya pada hari ini dengan ditemani seorang wakil Puspakom. Wakil berkenaan tidak terlibat dalam memberi keterangan kepada JPJ,” katanya.
Dalam sidang media yang sama, Mahmood turut menjelaskan Puspakom sehingga kini tidak menerima apa-apa saman daripada JPJ sepanjang Op Mengejut yang kini telah memasuki hari ketiga.
Mahmood juga menafikan dakwaan terdapat tujuh kenderaan telah disita oleh JPJ baru-baru ini.
Sebaliknya, tegas beliau, hanya sebuah kenderaan disita di Puspakom Wangsa Maju.
“Sementara 104 kenderaan yang disita di Perak sebenarnya berada di luar kawasan Puspakom dan belum lagi diperiksa.
“Sebanyak 43 cawangan telah diserbu pada 30 Disember 2024, 42 cawangan pada 31 Disember 2024 manakala setakat 2 petang hari ini, dua cawangan diperiksa iaitu Glenmarie dan Seremban,” katanya lagi.
JPJ mengadakan operasi secara serentak ke semua cawangan Puspakom di seluruh negara baru-baru ini bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa di fasiliti itu mematuhi standard ditetapkan.
Antara kesalahan dikesan dilakukan pemandu lori dalam Op Mengejut Puspakom ialah penggunaan tayar celup yang uzur dan tidak selamat dalam kalangan kenderaan berat, meskipun menyedari ia berisiko meletup bila-bila masa.- MalaysiaGazette