HAMILTON – Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan “bilangan tertinggi” insiden serangan berkaitan peneroka haram Israel berlaku di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Laporan itu merangkumi kejadian “sejak pejabat itu mula menyimpan rekod hampir dua dekad lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
OCHA berkata, kira-kira 1,400 kejadian termasuk serangan fizikal, pembakaran, serbuan ke atas masyarakat Palestin dan pemusnahan pokok buah-buahan – telah mengakibatkan rakyat Palestin terkorban, kerosakan harta benda, atau kedua-duanya sekali.
“Ini adalah hampir empat kejadian setiap hari,” kata OCHA.
Ia juga menambah, 12% daripada penduduk Palestin yang dipindahkan secara dalaman di Tebing Barat yang diduduki “telah menyebut keganasan peneroka dan sekatan akses sebagai sebab utama yang memaksa mereka keluar dari rumah atau komuniti mereka.”
“Tahun 2024 juga menandakan jumlah kematian kedua tertinggi warga Palestin di Tebing Barat sejak rekod OCHA bermula, selepas 2023, yang merupakan yang tertinggi,” kata OCHA.
Kenyataan itu turut melaporkan, lebih 480 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, terbunuh di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
“OCHA menyatakan kebanyakan mereka dibunuh oleh tentera Israel,” katanya. – Agensi