KENYATAAN media Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jack Seng berkenaan isu tarif elektrik. #malaysiagazette

KUALA LUMPUR – MCA mempersoalkan cadangan kerajaan menaikkan kadar tarif elektrik pertengahan tahun ini ketika Singapura mengumumkan akan menurunkan kadar elektrik untuk suku pertama 2025 berikutan kejatuhan harga tenaga antarabangsa.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jack Seng berkata, menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebab utama cadangan pelarasan tarif itu adalah bagi ‘mengasaskan semula’ kadar untuk mencerminkan anggaran kos bahan api yang lebih tinggi.

Sedangkan, menurutnya, Singapore’s Energy Group and City Energy mengumumkan bahawa disebabkan oleh penurunan harga tenaga antarabangsa, kadar elektrik isi rumah akan dikurangkan sebanyak 3.4 peratus pada suku pertama 2025, mencapai paras terendah sejak suku ketiga 2023.

“Malaysia dan Singapura hanya dipisahkan oleh Selat Tebrau yang merupakan laut sempit.

“Jadi, mengapa TNB menegaskan bahawa kenaikan harga tenaga antarabangsa akan mempengaruhi kenaikan tarif, sedangkan Singapura masih mampu menurunkan kadar berikutan kejatuhan harga tenaga?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jeck Seng yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai mengingatkan kerajaan yang mana kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan ketara kepada rakyat dan perniagaan di Malaysia terutamanya apabila ekonomi kembali pulih.

Jelasnnya, sebarang beban kos tambahan juga boleh memberi tekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pasaran pekerjaan.

“Selain itu, tarif yang lebih tinggi secara langsung meningkatkan kos sara hidup untuk isi rumah berpendapatan rendah dan memaksa golongan ini untuk mengurangkan perbelanjaan harian dengan lebih ketara lagi,” katanya.

Tambah beliau, ramai pemilik perniagaan kini meluahkan kebimbangan berhubung cadangan kenaikan tarif elektrik itu kerana akan melemahkan daya saing dan menjejaskan harga produk mereka berbanding pasaran antarabangsa.

Pada masa sama, jelasnya, orang ramai juga mula menyatakan kebimbangan mengenai kenaikan itu memandangkan mereka kini yang sudah dibebani dengan inflasi.

“Suara-suara ini mesti dipandang serius oleh TNB dan kerajaan.

“Mekanisme pelarasan kos dan tarif TNB mestilah telus agar masyarakat dapat memahami sepenuhnya sebab-sebab di sebalik perubahan dan mengelakkan ketidakpastian berpanjangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menilai semula kewajaran ramalan kos bahan api dan mempertimbangkan amalan di negara lain bagi memastikan pelarasan tarif adalah adil dan wajar.

“Dalam dunia hari ini, tenaga elektrik adalah nadi pembangunan ekonomi.

“Oleh itu, kerajaan dan TNB mesti bekerjasama mencari penyelesaian terbaik bagi mengimbangi kepentingan perniagaan dengan kesejahteraan orang ramai, bukannya hanya membebankan kos kepada pengguna,” katanya.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi pengumuman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini memaklumkan, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here