SHAH ALAM – Pengedaran ‘biskut ganja’ berharga RM50 setiap satu berjaya dipatahkan polis susulan tangkapan empat individu termasuk tiga beranak di sekitar Lembah Klang pada Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan memproses dan pembungkusan barangan terlarang itu di sebuah kondominium di Ampang.
Tangkapan pertama dilakukan pada pukul 9.30 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Setia Alam.
“Kita berjaya menahan tiga individu iaitu sepasang suami isteri serta anak perempuannya ketika menaiki kereta jenis Proton Saga dan pemeriksaan menemukan dadah jenis ganja seberat kira-kira 316 gram.
“Soal siasat kemudian membawa tangkapan seorang lelaki di sebuah kondominium di Ampang dengan rampasan ganja seberat 6.43 kilogram (kg) termasuk beberapa bekas biskut bercampur ganja yang dijual dengan harga RM50 bagi setiap bekas.
“Kita percaya suspek lelaki ini merupakan dalang manakala pemandu kereta yang ditahan bersama isteri dan anak disyaki transporter yang sedang dalam perjalanan untuk menghantar dadah kepada pembeli,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Katanya lagi, jumlah keseluruhan ganja yang dirampas dalam kes itu dianggarkan kira-kira RM21,000 dipercayai bagi pasaran sekitar Lembah Klang.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui sama ada isteri dan anak suspek turut terlibat dalam kegiatan pengedaran atau sebaliknya.
“Kita percaya aktiviti penjualan ini telah aktif sejak sembilan bulan lalu dilakukan secara dalam talian kepada komuniti yang dipercayai sahaja menerusi platform media sosial.
“Berikutan itu, keempat-empat individu terbabit berusia 22 hingga 47 tahun telah direman bagi siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang lelaki diberkas sepasukan BSJN IPD Klang Utara pada hari yang sama sebelum serbuan dilakkan di dua rumah.
Menurut Hussein, dalam serbuan pertama di Klang menemukan dadah jenis MDMA seberat 155 gram dan ketamin 0.59 gram.
Manakala serbuan rumah kedua di Setia Alam dijadikan sebagai mini makmal dengan merampas dadah jenis ekstasi (5.3 kg), cecair syabu (2,240 mililiter), syabu (2.1 kg).
Selain itu, heroin (1.19 kg) serta peralatan memproses dadah dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.06 juta itu dipercayai untuk pasaran di sekitar Lembah Klang,” ujarnya. – MalaysiaGazette