KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk dua lelaki warga Amerika Syarikat (AS) dipercayai terlibat penyebaran agama Kristian secara terbuka di sebuah pasar raya di Desa Setapak telah dirakam percakapan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Datuk Ayob berkata, pihaknya telah merakam keterangan dua lelaki warga asing berusia 30-an di Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju semalam.
“Kita telah rakam keterangan pengadu dan dua warga asing yang terlibat (warga AS) dan mereka dipercayai datang melancong ke negara ini sebelum Krismas,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, polis sedang mengesan tiga individu susulan video mereka cuba menyebarkan agama Kristian di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian pada pukul 10.19 malam Isnin lalu. – MalaysiaGazette