KUANTAN – Pihak polis giat memburu empat lelaki didakwa terlibat menculik dan menyamun dua pelancong warganegara China dalam kejadian pada 30 Disember 2024 di Pekan Gohtong Jaya, Bentong.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pihaknya di Balai Polis Genting Highlands telah menerima laporan berhubung kejadian yang berlaku pada pukul 6.30 petang itu melalui panggilan telefon daripada orang awam.
“Mangsa merupakan seorang wanita berusia 27 tahun dan seorang lelaki berusia 26 tahun yang datang ke Malaysia untuk melancong.
“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang sedang berjalan kaki di lokasi itu telah didatangi empat orang suspek lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta jenis BMW yang bertindak menarik kedua-dua mereka masuk ke dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Zaiham, telah berlaku pergelutan antara mangsa dengan suspek di mana mangsa wanita berjaya keluar daripada kenderaan itu dan melarikan diri.
Mangsa lelaki yang telah dilarikan suspek bagaimanapun telah ditinggalkan di tepi jalan setelah suspek mengambil sejumlah wang tunai dan membuat pindahan wang ke akaun milik suspek.
Tambah Zaiham, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan akibat kejadian tersebut dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.
“Pihak polis masih menjalankan siasatan dan sedang giat memburu suspek yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 365/394 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette