KUALA LUMPUR – Primadona filem, Erra Fazira mencuri perhatian netizen di media sosial apabila dia menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran untuk seorang individu.
Lebih menimbulkan spekualsi, ibu tunggal itu membuatkan peminat tertanya-tanya kerana hantaran tersebut ditujukan kepada seorang lelaki yang tidak dimaklumkan identiti dan turut menggunakan foto digelapkan.
Menerusi hantaran tersebut, Erra atau Fazira Wan Chek, 50, menyifatkan individu tersebut seorang lelaki yang mendamaikan hatinya.
“Selamat ulang tahun buat kamu yang mendamaikan. Moga Allah perkenankan segala doa dan harapan yang terindah dalam kehidupan dunia dan akhirat,” tulisnya di Instastory.
Difahamkan, individu tersebut dikenali sebagai Ezwan Zain yang turut membuat satu hantaran penghargaan selepas pelakon tersebut menemaninya makan malam semalam.
“Terima kasih kerana sudah belanja makan malam awak! Selamat tahun baharu dan Salam Rejab,” tulisnya di Instastory sambil memuat naik foto memaparkan Erra.
Untuk rekod, Erra sebelum in pernah mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 25 Oktober 2007 namun mereka disahkan berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun. – MalaysiaGazette