Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menolak pelawaan Pas untuk menghadiri Himpunan solidariti terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin ini.

Beliau mendakwa, jemputan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung perkara itu merupakan satu langkah politik yang tidak berprinsip serta membelakangkan proses kedaulatan undang-undang, Perlembagaan, hipokrit dan oportunis.

Katanya, beliau tidak akan menyertai himpunan itu tatkala Pas membuli dua menteri dari parti DAP, Nga Kor Ming dan Hannah Yeoh dalam himpunan yang diadakan di Masjid Jamek Kampung Baharu hari ini.

“Saya menolak pelawaan Pas kepada saya untuk menghadiri perhimpunan 6 Januari tatkala Pas mengadakan perhimpunan bantahan hari ini untuk membuli dua menteri DAP, Nga Kor Ming dan Hannah Yeoh atas dakwaan palsu mereka bahawa umat Islam berasa terancam dengan sambutan Krismas yang diadakan oleh Kor Ming dan juga kepercayaan agama sebagai seorang Kristian yang dipegang oleh Hannah.

“Pemimpin DAP berdiri dalam solidariti dan menyokong kedua-duanya, Kor Ming dan Hannah atas percubaan berbahaya oleh Pas menggunakan kenyataan mengelirukan untuk mencetuskan sentimen agama dan menimbulkan ketidakharmonian yang bercanggah dengan hak asasi kebebasan beragama yang termaktub di dalam Perlembagaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Guan Eng berkata, beliau tidak akan menyertai Himpunan Solidariti terhadap Najib setelah Jabatan Peguam Negara sendiri telah menggariskan secara terperinci proses wajar perlembagaan yang mesti dipatuhi dalam pemberian pengampunan untuk menyempurnakan pelaksanaan kuasa mengikut budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Tambahnya, sebagai bekas Menteri Kewangan, beliau juga menjadi saksi kerugian kewangan besar yang dialami oleh negara akibat daripada skandal kewangan ! Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bernilai RM52 bilion.

Katanya, Ahmad Fadhli harus berhenti daripada berpura-pura beliau adalah tonggak Perlembagaan berhubung keadilan.

“Tiada siapa yang akan melupakan percubaannya untuk membuli calon wanita kita bagi PRK Kuala Kubu, Pang Sock Tao dengan mempersoalkan keputusannya untuk SPM hanya kerana dia berasal dari sekolah Cina.

“Apabila Pang mendedahkan keputusan SPM sebagai pelajar yang peroleh semua A, Ahmad Fadhli hanya menikus dan sehingga hari ini tidak berani mendedahkan keputusan SPM sendiri.

“Pang kemudiannya berjaya memenangi pilihan raya kecil itu dengan meyakinkan apabila memperoleh majoriti yang lebih besar dari segi peratusan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here