KUALA LUMPUR – Industri semikonduktor dan kenderaan elektrik (EV) Malaysia akan terkesan sekiranya Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif yang lebih tinggi terhadap produk ASEAN.
Jelas Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, situasi tersebut secara langsung akan membuka risiko penarikan pelaburan asing, kejatuhan eksport dan kemerosotan industri baharu.
“Pemulihan ekonomi tidak boleh dicapai tanpa usaha memperluas permintaan domestik dan menstabilkan permintaan luar terutamanya dengan kembalinya (Donald) Trump yang telah memberi tekanan kepada perusahaan kecil di Asia Tenggara,” katanya menerusi kenyataan.
Dominic dalam masa yang sama turut mempersoalkan kesan negatif yang berlaku sekiranya kerajaan menaikkan tarif elektrik pada tahun ini.
“Jika kerajaan menaikkan tarif elektrik pada separuh kedua tahun ini, bagaimana Malaysia dapat mengekalkan daya saing di peringkat antarabangsa dan menarik pelabur asing?” soalnya.
Terdahulu Dominic berkata, kemerosotan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan yang direkodkan Disember tahun lalu mencerminkan bidang itu masih sukar berkembang di negara ini.
Sehubungan itu, beliau berpendirian kerajaan perlu merangka dasar yang lebih fleksibel dan berdaya tahan.
“Laporan penilaian PMI oleh S&P Global adalah penunjuk utama yang penting untuk memantau prestasi ekonomi. Secara umumnya, PMI menggunakan nilai ambang 50 peratus; lebih daripada 50 peratus mencerminkan pengembangan ekonomi, manakala kurang daripada 50 peratus mencerminkan pengecutan ekonomi.
“Ini merupakan penurunan terbesar PMI Malaysia sejak Mac 2024,” tambahnya.
Menurutnya, berbanding dengan negara lain seperti Filipina (54.8), Thailand (51.4), Indonesia (51.2), dan Singapura (51.0), negara-negara ini mencatatkan peningkatan PMI manakala Malaysia mengalami penurunan dari 49.2 pada November kepada 48.6.
“Lebih membimbangkan lagi, PMI Malaysia telah menurun secara berterusan sejak Jun 2024. Data ini mencerminkan keadaan sektor pembuatan di Malaysia masih sukar,” katanya lagi.
Tambah Dominic, data terkini menunjukkan pengeluar mengurangkan aktiviti pembelian dan mengurangkan stok bahan mentah serta barang siap bagi menghadapi penurunan pesanan baharu.
Perkara itu menunjukkan permintaan keseluruhan masih lemah, dan syarikat terus mengurangkan pengeluaran secara sederhana, dengan jangkaan aktiviti sektor pembuatan kekal lesu untuk beberapa bulan akan datang.
“Oleh itu, PMI mencerminkan interaksi antara pengeluaran dan penggunaan. Kerajaan perlu memberikan lebih banyak bantuan melalui dasar-dasar untuk memperkembangkan pengeluaran yang baik kepada kumpulan pengguna.
“Ini dapat mendorong pengeluaran dan penggunaan saling memacu dan memperkukuhkan antara satu sama lain,” katanya lagi.- MalaysiaGazette