Tangkap layar tular menunjukkan seorang lelaki masuk ke dalam Masjid At-Taqwa dan mengganggu jemaah

KUALA LUMPUR- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Masjid meminta pihak Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail meningkatkan keselamatan di kawasan masjid tersebut.

Ia susulan video tular yang memaparkan seorang individu masuk ke dalam masjid berkenaan dan mencetuskan suasana tidak senang dalam kalangan jemaah.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah mengambil perhatian berkaitan sebuah video yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial bernama Mohd Jafrie Hussain, berkaitan individu yang masuk ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan mencetuskan suasana yang tidak senang dalam kalangan jemaah.

“Kejadian ini berlaku pada waktu subuh pada 1 Januari 2025,” kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pihak JAWI telah membuat siasatan berhubung isu berkenaan dan mendapati individu tersebut kelihatan mempunyai masalah mental dan telah menganggu jemaah untuk menunaikan ibadah.

Namun JAWI kesal dengan tindakan seorang jemaah yang bertindak kasar terhadap individu berkenaan.

“Pihak JAWI mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM atas tindakan pantas menahan individu berkenaan untuk siasatan lanjut.

“Namun, JAWI amat kesal dengan tindakan seorang jemaah yang bertindak kasar kepada individu berkenaan di dalam masjid berkenaan kerana itu bukanlah cara Islam dalam menangani sesuatu masalah,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan suspek membuat kekecohan termasuk merosakkan televisyen di masjid itu, mengalami masalah mental sejak April 2022.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here