KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah selesai melakukan siasatan berkaitan isu zikir oleh sekumpulan individu di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur yang telah berlaku pada 28 Disember 2024.
Pengarah Jawi, Hanifuddin Roslan berkata, pihaknya juga telah menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan pengadu dan menemu bual waris Allahyarham serta pelaku yang terlibat.
Artikel berkaitan: Kertas siasatan zikir pelik di kubur sudah serah kepada Jabatan Mufti WP
JAWI diarah siasat zikir pelik di kubur- Mohd Na’im
Polis terima laporan kumpulan berzikir dalam keadaan pelik di tanah perkuburan
Malah, JAWI telah memanjangkan isu ini kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan dari aspek hukum syarak.
“Pihak JAWI akan mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pihak JAWI menasihati masyarakat Islam khususnya supaya tidak melakukan amalan-amalan yang boleh mengundang kontroversi dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette