KUALA LUMPUR – Keluarga Lim iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Lim Hui Ying didakwa fobia terhadap Datuk Seri Najib Razak walaupun bekas perdana Menteri itu dalam penjara.
Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata demikian selepas tiga beranak itu muncul dalam sidang media yang memfitnah kononnya UMNO dan Pas bekerjasama menganjur perhimpunan ‘Solidariti Najib’.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, nampaknya aura Najib nampaknya menghantui mereka sekeluarga terutama kepada Guan Eng yang masih bebas.
Sehingga Kit Siang yang kononnya sudah bersara muncul di sebelah Guan Eng pada sidang media tersebut.
“Dia (Kit Siang) fikir, bila Najib dipenjarakan bolehlah dia bersara dengan aman. Sekarang Kit Siang sedar dia belum boleh tidur nenyak. Aura Najib masih hidup. Dia terancam jika Najib bebas,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Puad mengakui kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa masa Guan Eng sudah tamat dan biar pimpinan baharu DAP menguruskan parti tersebut.
“Guan Eng boleh teruskan kepengerusian DAP. Selesai dulu kes rasuah terowong laut. Buat Atok Kit Siang, “Bersaralah”.
Mengulas mengenai perhimpunan ‘Solidariti Najib’, Puad berkata, UMNO dan Pas tidak bekerjasama menganjurkan perhimpunan itu, malah UMNO dan Pas rancang berasingan.
Tetapi sudah pasti UMNO mengalu-alukan sokogan Pas itu.
Baru-baru ini, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan membidas UMNO kerana berganding bahu dengan PAS mengadakan perhimpunan solidariti untuk Najib, minggu depan.
Katanya, perhimpunan itu akan menimbulkan keraguan tentang keikhlasan UMNO menjadi rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan.
“UMNO mesti sedar sebarang program bersama dengan parti pembangkang Pas, baik perhimpunan solidariti ataupun demonstrasi, akan menimbulkan keraguan tentang kestabilan politik dan kedudukannya dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam sidang media yang turut disertai bapanya.- MalaysiaGazette