Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. B. Rani Ann.

KUALA LUMPUR – Langkah pelesenan media sosial yang berkuat kuasa di negara ini hari ini disifatkan sebagai tindakan awal kerajaan ke arah pengendalian media sosial lebih beretika pada masa depan.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. B. Rani Ann berkata, langkah pelesenan itu dapat membendung antaranya penyebaran berita palsu yang menjadi ancaman kepada keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Pelesenan itu juga, katanya, akan menyebabkan pengendali media sosial dapat mempertingkatkan kawalan terhadap penyebaran maklumat tidak sahih.

“Ini bukan sahaja melindungi pengguna tetapi juga memelihara ketenteraman awam dan integriti maklumat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Berkuat kuasa hari ini, pengendali platform dengan jumlah pengguna lebih lapan juta orang perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) untuk beroperasi di negara ini.

Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), setakat ini, empat syarikat penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial utama telah memohon lesen terbabit dengan Tencent yang mengendalikan aplikasi WeChat menjadi syarikat pertama yang diluluskan lesen itu.

Sementara itu, Rani Ann berkata, langkah pelesenan media sosial itu juga secara tidak langsung dapat mendidik pengguna media sosial supaya lebih beretika dalam penggunaan platform digital.

Jelas beliau, ia termasuk membendung kes buli siber yang selama ini menjadi isu besar dalam dunia digital.

“Dengan kawalan yang lebih ketat terhadap kandungan yang dimuat naik dan mekanisme laporan yang lebih cekap, pelaku buli siber akan lebih mudah dikena lpasti dan diambil tindakan,” ujarnya.

Tambah beliau, disebabkan langkah pelesenan media sosial bermula dengan platform dengan lapan juta pengguna, maka wujud harapan supaya ia dapat turut dilaksanakan terhadap platform media sosial lebih kecil pada masa depan.

Langkah itu penting bagi memastikan kawalan yang menyeluruh ke atas semua jenis platform media sosial, tanpa mengira saiz penggunanya.

“Langkah ini juga akan memastikan keadilan dalam pengawalseliaan terutamanya apabila platform kecil semakin berkembang,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Empat penyedia perkhidmatan pesanan internet, media sosial mohon lesen operasi di Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here