KUALA LUMPUR – Kelab Liga Super, Kedah Darul Aman FC yang berdepan masalah kewangan terpaksa melepaskan tiga pemain mereka bagi mengharungi baki Liga Malaysia musim ini.
Dua pemain import, Sukhrob Nurulloev dan Cleylton Santos dilepaskan selepas bersetuju untuk menamatkan kontrak mereka.
Sementara seorang lagi pemain iaitu Faiz Nasir sudah tamat tempoh pinjamannya dan akan kembali ke kelab asal iaitu Terengganu FC.
“Pihak pemilik, ahli lembaga pengarah, dan pengurusan Kedah Darul Aman FC ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos dan Faiz Nasir atas sumbangan dan dedikasi yang diberikan sepanjang mereka bersama pasukan Sang Kenari.
“Kehadiran mereka telah memberikan impak besar di atas padang dengan ketangkasan serta komitmen yang tidak pernah berbelah bahagi.
“Sukhrob dan Cleylton telah mencapai persetujuan bersama bagi penamatan kontrak untuk mengembangkan karier di liga luar Malaysia. Manakala untuk Faiz Nasir pula telah tamat tempoh pinjaman, akan tetapi beliau telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan,” kata Kedah dalam satu kenyaan di Facebook rasmi kelab itu hari ini.
Keputusan itu tidak mengejutkan kerana semua sudah maklum Kedah sedang berdepan krisis kewangan yang teruk.
Kemelut dalaman membabitkan pasukan Kedah menyebabkan barisan pemain memboikot sesi latihan sebelum ini.
Baru-baru ini Isteri kepada pemain Kedah, Irfan Zakaria turut hilang sabar melihat situasi yang dialami oleh suaminya apabila mendakwa pihak pengurusan seperti tidak bertanggungjawab kerana tidak membayar gaji selama sembilan bulan.
Isterinya, Mas Hamizah Izhar meluahkan rasa kekecewaan itu di media sosial miliknya dan melihat pemain seperti dianiaya tanpa belas kasihan oleh pihak atasan. – MalaysiaGazette