KUALA LUMPUR – MCA menyeru semua pemimpin dan ahli-ahlinya di semua peringkat untuk menyertai himpunan ‘Solidariti Bersama Datuk Seri Najib Razak’ pada Isnin, 6 Januari 2025 di Istana Kehakiman, Putrajaya.
“MCA berharap ahli-ahli berharap menyertai perhimpunan ini bagi menunjukkan solidariti bersama Datuk Seri Najib Razak,” kata Biro Publisiti MCA.
Parti itu sekali lagi menegaskan, sejak awal lagi, MCA telah menyatakan pendiriannya berhubung titah addendum melibatkan tahanan rumah yang didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Semasa sambutan Ulang Tahun ke-50 Barisan Nasional (BN) pada 7 Disember 2024, Presiden MCA Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong dengan tegas menyuarakan pendirian parti supaya kerajaan mengesahkan secara terbuka sama ada titah adendum wujud atau sebaliknya.
“MCA menghormati keputusan mahkamah dalam semua kes. Namun, dalam soal ini (titah addendum), parti ini menuntut ketelusan daripada kerajaan – jika ia wujud, katakan ya, jika tidak, katakan begitu,” tegasnya.
MCA menegaskan, adalah penting bagi kerajaan untuk menjelaskan isu ini, terutama sekali melibatkan prinsip-prinsip Rukun Negara, termasuk “Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang”. – MalaysiaGazette