Peguam Muda Amanah, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda bercakap pada sidang media berkenaan Menuju Demonstrasi Aman #TangkapAzamBaki di Wisma Amanah Nasional, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah mempersoalkan tindakan Pemuda Pas yang menganjurkan Himpunan Kebangkitan Umat di Masjid Jamek, Kampung Bharu untuk menzahirkan kemarahan orang Islam dan Melayu terhadap beberapa pemimpin DAP.

Exconya, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, beliau berasa hairan parti Islam itu sepatutnya mengharamkan DAP ketika berkuasa dan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Kenapa ketika kamu menjadi kerajaan kamu senyap tentang isu Islam tetapi hingar bingar ketika kamu menjadi pembangkang?

“Lupakah kamu ketika kamu menjadi kerajaan, isu hudud pun senyap bahkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) pun hilang?

“Lupakah kamu ketika kamu menjadi kerajaan, kempen Buy Muslim First atau BMF yang kamu laung ketika kamu pembangkang pun hilang?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, media melaporkan Pemuda Pas mempelawa sayap UMNO, PKR dan Amanah menyertai himpunan aman membantah pihak mengganggu-gugat keharmonian umat Islam di Malaysia, Jumaat ini.

Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, ‘Himpunan Bangkit Ummah’ anjuran Pemuda Pas, Bersatu dan beberapa NGO Islam di Masjid Jamek, Kampung Bharu, dijadual 2.30 petang melangkaui politik demi mempertahankan hak umat Islam.

Mohd Hafez berkata, antara isu akan dibangkitkan ialah bantahan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurutnya, penerbitan buku Hannah berjudul ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ didakwa mengandungi unsur penyebaran Kristian secara halus, perlu dipandang serius dan wajar dibantah, manakala Kor Ming pula dituduh mengadakan sambutan Krismas di pejabat kerajaan.

Fadhli turut mempersoalkan sikap Pas yang tidak mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpin DAP apabila Islam dicabar.

“Kenapa ketika kamu menjadi Kerajaan kamu tidak hukum terus pimpinan DAP yang kamu katakan mencabar Islam ini?” katanya.

Sehubungan itu, Fadhli menasihatkan Pas agar berhenti memainkan isu perkauman dan agama kerana ia langsung tidak membangunkan anak bangsa.

“Cukup-cukuplah Pas. Lebih baik kamu sediakan Bajet Alternatif Pembangkang, Kerangka Kerajaan Pas jika menang PRU16 dan lain-lain polisi alternatif yang boleh kamu tawarkan.

“Jadilah pembangkang yang efektif dan bukan hanya merosakkan negara dengan isu-isu perkauman bahkan fitnah yang tidak tentu hala,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here