KUALA LUMPUR –Â Seorang pekerja logistik dikenakan denda RM10,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran bersifat jelik yang menghina kerabat diraja Pahang, lebih tiga tahun lalu.
Hakim Siti Aminah Ghazali mendenda Tan Yong Hua, 42, selepas lelaki tersebut mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu melalui aplikasi Facebook dalam laman Instagram menggunakan nama profil ‘ogbadboyterryt’ di antara 6 dan 7 November 2021 dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Berdasarkan pertuduhan, hantaran itu kemudian dilihat oleh seorang individu pada 7 November 2021 di sebuah kondominium di Taman U-Thant di sini.
Menurut fakta kes, hantaran bersifat jelik tersebut dibaca oleh Tun Putera Ahmad Aizuddin Shah Mohamed Johan (yang juga pengadu kes) kira-kira pukul 11 malam, 6 November 2021 yang kemudiannya membuat laporan polis.
Fakta yang dibacakan di mahkamah turut menyatakan, tertuduh sedar bahawa hantaran itu bersifat jelik serta menghina institusi diraja.
Keterangan kes turut menyatakan, lelaki berkenaan kemudian ditangkap polis kira-kira pukul 10 malam, 26 November 2021.
Fakta selanjutnya menunjukkan, hasil analisis media sosial yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengesahkan akaun Instagram ‘ogbadboyterryt’ adalah kepunyaan tertuduh dan dikendalikannya.
Keterangan kes malah menunjukkan, tertuduh telah menggunakan telefon bimbit untuk mengakses akaun Instagram ‘ogbadboyterryt’ serta membuat dan memulakan penghantaran bersifat jelik.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, lelaki tersebut dibawa ke mahkamah oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah memohon hukuman keras diberikan kerana tertuduh membuat komen yang menyentuh institusi diraja.
Pihak pendakwaan memohon hukuman sedemikian bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak menyentuh isu 3R (raja, bangsa, agama).
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan kerana dia kini tidak mempunyai pekerjaan tetap serta tangannya mengalami kecederaan.
Ketika ditanya hakim berkenaan sama ada dia mempunyai tanggungan, Yong Hua berkata: “Saya tiada tanggungan, minta ampun dan janji tak buat lagi”. – MalaysiaGazette