KUALA SELANGOR – Hasrat seorang guru wanita untuk mengajar di sekolah rendah agama dekat sini tidak kesampaian apabila motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Jalan Tali Air 4, Ban 2, Tanjong Karang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu, mangsa, 46, yang datang dari arah Tanjong Karang ke Sekinchan telah dilanggar kereta Perodua Kenari menyebabkan motosikal Honda Wave yang ditungganginya tercampak ke sisi kanan jalan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superitenden Azaharudin Tajudin berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu jam 3.52 petang.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dilanggar kereta yang dipandu seorang lelaki yang juga pengusaha homestay berusia 52 tahun di Jalan Tali Air 4, Ban 2 dari arah Tanjong Karang menghala Sekinchan.
“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke SRA, manakala pemandu kereta pula dari arah Jalan Klang ke Teluk Intan, Perak melalui Jalan Tali Air 4,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Azaharudin, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian perut bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tanjong Karang.
Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1937 dan pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut mengenai kemalangan maut itu.
“Orang lamai yang melihat kejadian dan mempunyai lanjut berkenaan kemalangan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette