Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media mengenai kejayaan PDRM menumpaskan sindiket dadah sekitar Klang Utara, Shah Alam dan Ampang Jaya di IPK Selangor, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 03 JANUARI 2025.

SHAH ALAM – Semua permit penganjuran konsert di Selangor akan ditangguhkan sementara susulan penyalahgunaan dadah dalam konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Selangor pada ambang tahun baharu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menegaskan, penangguhan itu akan dilaksanakan berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan berhubung kes terbabit dikenal pasti.

“Pada masa akan datang, mana-mana konsert yang sudah diluluskan permit sebelum ini atau belum, penganjur perlu beri keyakinan agar tiada elemen terlarang seperti dadah dan alkohol dibawa masuk selain kapasiti pengunjung yang terkawal.

“Sekiranya elemen ini gagal dipatuhi, kita tidak boleh benarkan sebarang konsert dilakukan yang boleh menyebabkan berakhir dengan kematian seperti yang berlaku dalam konsert Pinkfish,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, jumlah kehadiran pengunjung di konsert Pinkfish dianggarkan lebih 16,000 termasuk 2,000 daripadanya adalah petugas konsert terbabit.

Tambah beliau lagi, polis juga  akan melihat kepada beberapa aspek sebelum memberikan kebenaran termasuk kapasiti kehadiran mengikut keluasan tempat, ruang pengudaraan dan bahan-bahan terlarang.

Pihak penganjur perlu bertanggungjawab terhadap garis panduan yang telah dikemukakan sebelum ini apatah lagi konsert yang melibatkan bilangan kehadiran yang ramai.

Pada 31 Disember lalu, Konsert Pinkfish di Bandar Sunway itu dikejutkan dengan kematian empat individu, dua mangsa di Unit Rawatan Rapi manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar hospital selepas dipercayai mengambil pil ekstasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here