PUTRAJAYA – Perdana Menteri mengarahkan semua program dan projek asas yang amat diperlukan rakyat seperti membasmi kemiskinan tegar serta tebatan banjir disegerakan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, unjuran sesuatu projek yang mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan perlu dirombak semula dan diselesaikan dalam tempoh yang singkat dengan sebaik mungkin.
Beliau yang juga menteri kewangan berkata, keupayaan sesebuah negeri tidak perlu dijadikan alasan untuk projek mendesak itu dilengah-lengahkan termasuk tebatan banjir di Rantau Panjang, Kelantan.
“Saya setuju dalam perbincangan, kita harus rombak itu semua, kalau banjir mengorbankan nyawa, mengorbankan harta, tak perlu tunggu sehingga enam tahun (untuk siapkan projek tebatan).
“Jadi, hal ini yang harus diteliti semua KSU (ketua setiausaha kementerian), kalau tidak, KSU baharu datang, kemudian tengok skim banjir untuk tebatan banjir (sebagai contoh) Fasa 1 Rantau Panjang (Kelantan) dah siap, fasa kedua tahun 2026, fasa ketiga 2029, jadi orang Rantau Panjang kena tunggu 15 tahun baru nak siap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Beliau turut mengakui setiap program pembangunan mempunyai unjuran masing-masing mengikut penetapan di bawah Rancangan Malaysia seperti projek tebatan banjir yang terbahagi kepada beberapa fasa sehingga mengambil masa enam tahun.
“Bila KSN (Shamsul Azri) bicara mengenai tebatan banjir dalam RMK, (contohnya) tahun ini permulaan, tiga tahun lagi fasa kedua… enam tahun lagi fasa ketiga dan saya setuju dalam perbincangan, kita harus rombak itu semua.
“Kalau banjir itu mengorbankan nyawa dan harta jangan tunggu enam tahun lagi… kalau perlu jimat daripada perbelanjaan lain kita jimatkan, kalau perlu kita pinjam, kita pinjam.
“Tapi semua program mendesak seperti kemiskinan tegar, tebatan banjir harus disegerakan dan tidak mengikut unjuran lima hingga enam tahun.” ujarnya.
Pada awal Disember lalu, Perdana Menteri ketika sidang Dewan Rakyat memaklumkan, projek tebatan banjir yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk di Pantai Timur berjalan mengikut jadual, walaupun ada antaranya dibatalkan pada 2022 sebelum ditender semula.
Katanya, keputusan membatalkan beberapa projek dibuat ketika itu kerana kerajaan menolak amalan rundingan terus yang disifatkan beliau mempunyai asas yang cukup lemah. – MalaysiaGazette