Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR –  Polis akan memanggil Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi merakam keterangan  keterangan berhubung isu bukunya bertajuk Becoming Hannah.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sebanyak 157 laporan polis diterima seluruh negara dengan lapan daripadanya diterima di ibu negara.

“Kita telah rekod keterangan daripada 45 individu namun buat masa ini, Hannah Yeoh belum direkod keterangan dan akan dirakam dalam masa terdekat,” katanya secara ringkas dalam sidang media di sini hari ini.

Pada 30 Januari 2020, Hannah dilaporkan memfailkan saman terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan dibuat semasa ucapannya dalam satu forum Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau mendakwa, Musa antara lain menuduhnya menulis buku ‘Becoming Hannah’ untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam serta Malaysia.

Susulan kes terbabit, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024 telah menolak saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Segambut itu.

Bagaimanapun, Hannah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 26 Disember susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap Musa.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Hannah berkata, semua pihak harus menghormati proses kehakiman dan tidak mempolitikkan isu itu selain mengarahkan peguamnya untuk memohon agar rayuan ini didengar dengan kadar segera.

Ahli Parlimen Segambut itu memaklumkan, beliau dinasihatkan oleh peguamnya belum ada alasan penghakiman bertulis penuh yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast