Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan pil ekstasi dan barangan dadah lain pada sidang media mengenai kejayaan PDRM menumpaskan sindiket dadah sekitar Klang Utara, Shah Alam dan Ampang Jaya di IPK Selangor, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 03 JANUARI 2025.

SHAH ALAM – Polis mengesyaki ada individu yang menjual dadah jenis pil ekstasi di dalam dan luar konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang pada 31 Disember lalu.

Dalam kejadian itu, empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun termasuk dua wanita dilaporkan mati disyaki selepas mengambil barang terlarang itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini, enam laporan telah diterima daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Siasatan awal mendapati ada dalam kalangan mereka yang dapatkan (pil ekstasi) dari dalam dan luar premis konsert itu dengan harga RM50 bagi satu pil.

“Kebiasannya, mereka menjual secara pakej iaitu tiga pil RM100 namun kita masih menyiasat untuk kenal pasti mereka yang terbabit dalam penjualan barang itu di konsert,” katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media mengenai kejayaan PDRM menumpaskan sindiket dadah sekitar Klang Utara, Shah Alam dan Ampang Jaya di IPK Selangor, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 03 JANUARI 2025.

Tambah Hussein, polis masih menunggu laporan bedah siasat dan laporan toksikologi daripada mangsa yang meninggal dunia bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.

Katanya, tujuh mangsa termasuk yang meninggal dunia bukan kenalan dan hadir ke konsert berkenaan secara berasingan bersama rakan serta keluarga masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada siasatan pihaknya, orang ramai mula berkunjung ke konsert itu pada pukul 4.30 petang dan kes pertama dilaporkan kira-kira pukul 11 malam sehingga 3 pagi.

“Selain empat mangsa yang sudah meninggal dunia, dua lagi masih berada di Unit Rawatan Rapi  manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar hospital.

“Pada masa sama, kita juga akan memanggil beberapa lagi pihak lain untuk membantu siasatan termasuk penganjur konsert dan rakan mangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here