SEBERANG PERAI – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan polis selepas bertindak menikam perut ibu saudaranya menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di Blok E2 Flat Taman Teluk Indah, Perai di sini hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku pukul 11 pagi ketika mangsa berusia 35 tahun itu berada di rumahnya bersama anaknya berusia lima tahun.
Difahamkan, mangsa ditemui penduduk flat tersebut dalam keadaan berlumuran darah di hadapan pintu rumah sebelum menghubungi pihak ambulans untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 11.30 pagi sebelum pasukan penyiasat bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah berkenaan susulan mangsa menghalang suspek mahu tinggal semula bersama ibu kandungnya.
”Susulan itu suspek tiba-tiba bertindak menikam mangsa menggunakan pisau hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kiri perutnya.
”Mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut manakala suspek ditahan di lokasi kejadian bagi siasatan lanjut.
Difahamkan suspek sudah tidak bersekolah dan polis turut merampas pisau yang digunakannya di lokasi kejadian.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette