KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengingatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng agar lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak khususnya rakan komponen Kerajaan Perpaduan.
Exconya, Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, sebagai pemimpin, Guan Eng harus lebih berhati-hati dalam menjaga sensitiviti demi mengekalkan keharmonian antara semua pihak dalam kerajaan dan negara.
“Sebagai ahli UMNO, saya ingin menegaskan sokongan parti kami terhadap Kerajaan Madani tidak wajar diragui atau dipersoalkan.
“Kami tetap komited untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Teguran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi satu langkah tepat bagi memperkukuhkan keharmonian dan kerjasama dalam Kerajaan Madani,” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menasihatkan Guan Eng untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Ahmad Zahid berkata, ‘zaman’ Guan Eng sudah berlalu dan beliau seharusnya meletakkan kepercayaan kepada barisan pemimpin yang lebih baharu dalam parti berkenaan.
Guan Eng sebelum ini dilaporkan mengingatkan UMNO bahawa sebarang program bersama parti pembangkang khususnya Pas akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, antaranya perhimpunan solidariti tanda solidariti kepada Datuk Seri Najib Razak pada Isnin ini.
Dalam pada itu, Anil juga menegaskan, kesediaan Pas untuk menyertai Himpunan Solidariti Najib Razak di hadapan Istana Kehakiman, Isnin ini tidak mempunyai kaitan dengan UMNO.
“Kehadiran Pas yang memberikan sokongan moral kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, ia adalah hak mereka sebagai sebuah parti politik.
“Sokongan tersebut tidak ada kaitan dengan UMNO mahupun isu dalaman parti kami.
“Malah, tindakan Pas itu mencerminkan penghargaan mereka terhadap jasa dan kepimpinan Datuk Seri Najib ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri,” katanya.
Katanya lagi, semua pihak digesa untuk turut sama ada hadir secara fizikal atau melalui doa dalam perhimpunan tanda solidariti kepada bekas Perdana Menteri itu.
“Gesaan ini tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak untuk mendoakan agar keadilan buat Datuk Seri Najib ditegakkan pada 6 Januari ini.
“Marilah kita bersama-sama memastikan keadilan terus menjadi teras utama dalam pentadbiran negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette