PUTRAJAYA – Perdana Menteri menyifatkan usaha Kerajaan Perpaduan memperkasakan tatakelola pada pelbagai peringkat sebagai satu kejayaan susulan tiada skandal atau kes besar boleh dipalitkan kepada kerajaan dalam tempoh dua tahun ini lebih-lebih lagi melibatkan tender.
Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penjawat awam memberikan tumpuan terhadap fokus membangunkan Malaysia agar menjadi negara yang hebat dirantau ini.
“Saya nak sebut, dalam dua tahun ini, saya syukur kepada Allah SWT kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu skandal besar yang pernah diungkapkan sepanjang dua tahun ini.
“…dan bagi saya ini kejayaan lebih besar kita ada, keupayaan dan tidak boleh menyelesaikan semua masalah. Negara ini negara hukum dan kita kena ambil keputusan berdasarkan tatakelola yang baik dan Madani ini menekankan soal nilai.
“Jadi, jangan kita umpamanya terheret dengan perbincangan hiruk-pikuk yang lain. Saya mahu penjawat awam mempunyai satu ketetapan bahawa tugas kita ialah melonjakkan ekonomi dan prestasi negara kita, kecekapan kita, serius kita.
“…dan percayalah beri satu dua tahun, kalau semangat sebegini rupa, pengiktirafan sebegini rupa dan kesatuan semangat kita, saya percaya kita akan saksikan Malaysia sebagai negara hebat dirantau ini, saya yakin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 sempena Pehimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menggesa penjawat awam memikirkan langkah untuk melakukan reformasi dalam perkhidmatan awam.
Katanya, bagi tujuan itu, satu pemukiman akan dilakukan dan ia akan bermula dalam kalangan Jemaah Menteri, diikuti oleh ketua-ketua setiausaha dan ketua-ketua pengarah.
Bagaimanapu katanya, pemukiman yang hendak dilakukan bukanlah untuk mengesan kelemahan-kelemahan, sebaliknya mencari ruang untuk memperbetulkan sesuatu agar menjadi lebih baik.
“Bagaimana kita boleh reform perkhidmatan awam secara menyeluruh, ini harus kita fikirkan. Apakah kita perlu kumpul, kita bincangkan bersama, kita nilai prestasi masing-masing, kita berikan pengkikrafan, kita berikan idea baru…itu kita fikirkan bersama
“Ada kelemahan-kelemahan yang harus diperbetulkan dan ada tahap kesungguhan yang kita harus tingkatkan…
“…dan saya percaya ia akan diikuti oleh ketua-ketua setiauasaha dan ketua-ketua pengarah…tapi harus tak berhenti disitu…harus sampai keperingkat bawah,” ujarnya. – MalaysiaGazette